Friday, September 23, 2011

Kastam tahan warga asing, rampas wang RM253,000




Pegawai penguat kuasa menunjukkan tempat simpanan wang tunai bernilai RM253,000 yang tidak diikrar dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Padang Besar, Perlis, semalam.


PADANG BESAR 23 Sept. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri mematahkan cubaan menyeludup sejumlah wang kertas ringgit Malaysia bernilai RM253,000 ke negara ini berikutan penahanan seorang penoreh getah warga Thailand di Kompleks Imigresen Padang Besar, di sini semalam.
Pengarahnya, Mohd. Pudzi Man berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan ketika sepasukan anggotanya memeriksa kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang pada pukul 12.45 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan itu anggota Kastam menemui empat bungkusan mengandungi wang berkenaan yang dibungkus menggunakan surat khabar dan beg plastik.
“Wang not kertas RM1 sehingga RM100 itu ditemui disorok di bawah tempat duduk belakang kenderaan tersebut. Kesemua wang berkenaan disita dan dilucutkan hak kepada pihak Kastam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan, lelaki berkenaan yang memasuki negara ini gagal mengemukakan dokumen mengenai wang berkenaan malah tidak mengikrar wang itu dalam borang Kastam K22.
“Lelaki itu mendakwa membawa wang berkenaan ke negara ini untuk membayar hutang,” ujar beliau.
Mohd. Pudzi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes itu dan telah menahan empat lelaki iaitu tiga warga tempatan dan seorang warga Thailand untuk siasatan lanjut.
“Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk meneliti rekod kemasukan lelaki berkenaan ke negara ini,” katanya.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLAFTA) 2001, Seksyen 4 (1) AMLAFTA iaitu terlibat dengan penggubahan wang haram dan Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barang larangan import.
Mohd. Pudzi turut mengingatkan orang ramai yang memasuki negara ini dengan membawa mana-mana mata wang melebihi nilai atau bersamaan AS$$10,000 (RM31,700) agar mengisytiharkan kepada pihak Kastam.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan wang agar menghubungi Kastam 1-800-88-8855.

No comments:

Post a Comment