Friday, September 23, 2011

Chong Wei dikerah sebelum ke separuh akhir


KUALA LUMPUR - Dua pemain terbaik dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan dipaksa mengharungi pertarungan mencemaskan sebelum melangkah ke ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Jepun di Tokyo, semalam, sekali gus menghampiri final impian.
Jaguh No. 1 dan 2 dunia itu diheret dalam perlawanan tiga set oleh dua lawan yang lebih muda, Kenichi Tago serta Chen Jin sebelum meneruskan kemaraan pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM627,000) itu.
Chong Wei yang tumpas kepada Lin Dan pada final Kejohanan Dunia di London, bulan lalu mengakui, masih belum bangkit secara mental daripada kekalahan kepada musuh tradisi itu, namun dia tetap bersedia secara fizikal untuk berdepan dengannya jika ditemukan di perlawanan akhir sekali lagi.
"Saya memegang mata perlawanan 20-19 dan 21-20 ketika itu, saya ada peluang untuk menang tetapi saya kalah perlawanan tersebut. Sejak itu, semangat saya agak merudum. Saya tetap pergi ke Jepun kerana saya rasa kejohanan kali ini istimewa, ia ulang tahun ke-30 Terbuka Jepun,'' ujar Chong Wei.
Terdahulu, langkah cemerlang beregu muda negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah pula terhenti di suku akhir apabila tersingkir di tangan pasangan senior senegara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.
Kekalahan itu menyaksikan, Kien Keat-Boon Heong kini bakal memperbaharui permusuhan dengan beregu handalan China, Fui Haifeng-Cai Yun pada separuh akhir hari ini.
Bagi V Shem-Khim Wah, walaupun kalah mereka terus menunjukkan potensi besar selepas mempamer permainan cemerlang dan memberi tentangan hebat kepada pasangan No. 5 dunia, Kien Keat-Boon Heong sebelum akur dengan keputusan 21-16, 19-21, 21-17.
Dalam perseorangan lelaki, laluan Chong Wei untuk mempertahankan kejuaraan tidak mudah.
Dia bukan saja dikejutkan dengan kekalahan di set pembukaan, malah diheret dalam pertarungan hampir sejam sebelum menyingkirkan pemain kental, Tago 21-23, 21-7, 21-18.
Chong Wei, 29, yang juga juara 2007 melebarkan rekod pertemuan ke atas pemain berusia 22 tahun kepada 7-0, namun kemenangan kali ini antara yang paling sukar dicapai, apatah lagi Tago mempamerkan semangat juang kental dengan berjaya merapatkan jurang 18-20 selepas seketika ketinggalan 10-19 dalam set ketiga.
Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock ketika dihubungi mengakui, kedegilan Tago hampir mengejutkan anak didiknya, terutama di set pembukaan dan penutup.
"Pada hujung set pertama Chong Wei hilang fokus akibat terikut-ikut permainan lawan tetapi di hujung set ketiga pula dia terlalu relaks hingga membenarkan Tago merapatkan jurang,'' katanya.
Menanti Chong Wei pada separuh akhir hari ini adalah juara 1998 dan 1999, Peter Hoeg Gade dari Denmark yang mara selepas mudah mengetepikan pemain Indonesia, Simon Santoso 21-16, 21-15 dalam satu lagi suku akhir.
Sementara itu, juara dunia dan juara Terbuka Jepun dua kali, Lin Dan hampir dikejutkan rakan senegara yang juga juara dunia 2010, Chen Jin buat kali kedua dalam tempoh seminggu sebelum bangkit daripada ketinggalan untuk menang 20-22, 21-14, 22-20 dalam saingan yang berlangsung selama 1 jam, 8 minit.
Li Dan yang dikejutkan Chin Jin pada separuh akhir China Masters, minggu lalu kini akan berdepan seorang lagi rakan senegara yang juga juara China Masters, Chen Long pada separuh akhir hari ini. Chen Long terdahulu mara selepas mudah menumpaskan Jan O Jorgensen 21-14, 21-13.

Pinjam along hantaran kahwin

JOHOR BAHRU: Gara-gara terdesak melangsungkan perkahwinan apabila permohonannya mendapatkan pinjaman dengan institusi kewangan ditolak, seorang kontraktor binaan di sini kini hidup dalam ketakutan apabila ditipu ceti haram selepas terjebak dengan pinjaman wang daripada tujuh along, awal bulan lalu. 

Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Zali, 31, pada awalnya ingin meminjam RM10,000 daripada along sebagai wang hantaran kepada pihak pengantin perempuan berikutan simpanannya tidak mencukupi.

Pinjaman antara RM750 hingga RM1,000 daripada setiap tujuh along itu mengenakan bunga antara RM1,000 hingga RM3,000 setiap minggu.
Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay, berkata hidup lelaki itu amat tertekan kerana dia bukan saja tidak mendapat sepenuhnya wang yang ingin dipinjam, malah diminta melunaskan bunga pinjaman berjumlah RM12,800 walaupun sudah membayar wang yang dipinjamnya. 

Kes menimpa lelaki ini lain daripada yang lain kerana dia bukan saja ditipu kerana tidak mendapat sepenuhnya wang yang dipinjam, malah turut diminta menyelesaikan bunga pinjaman sedangkan pinjaman sudah dijelaskan. 

Dia sepatutnya tidak perlu lagi membayar bunga pinjaman jika sudah melangsaikan pinjaman dibuat, namun dia masih diminta membayar bunga pinjaman setiap minggu yang berbeza-beza daripada setiap along, katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Tay berkata, lelaki itu meminjam daripada seorang along kepada along lain bagi mengelak dikenakan bayaran bunga, namun masalahnya berlarutan kerana masih diminta menjelaskan hutang itu. 
Kes ini diibaratkan sebagai gali dan tutup lubang kerana lelaki itu menyangka dia tidak berhutang lagi dengan along terdahulu selepas menjelaskan hutang hasil pinjaman wang dengan along seterusnya, namun dia kini terjerat. 

Kita meminta pihak ceti haram ini tidak menggunakan sebarang kekerasan terhadap mangsa serta memberikannya sedikit tempoh untuk menyelesaikan segala hutang berkenaan apatah lagi beliau tidak mampu serta baru saja mendirikan rumah tangga, katanya. 

Sementara itu, Zali berkata dia sudah memohon pinjaman dari lebih 10 institusi kewangan berdaftar di negara ini tetapi gagal . 

Saya buntu memikirkan perkara ini kerana kedua-dua keluarga saya dan mentua langsung tidak mengetahui mengenai hal ini walaupun majlis perkahwinan sudah selesai, namun wang hantaran masih lagi tergantung dan kerana itu saya memerlukan wang berkenaan, katanya.

Kakitangan awam diramal naik gaji lagi

Berita baik dijangka diumum PM dalam Bajet 2012

KUALA LUMPUR: Kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 di Dewan Rakyat, 7 Oktober ini.

Antara tuntutan CUEPACS sebelum ini ialah pemberian bonus dua bulan, umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun dan penghapusan Gred 1 hingga 16 dalam skim perkhidmatan bagi membolehkan kakitangan awam peringkat rendah menikmati gaji lebih tinggi.

Bagaimanapun, sumber menyatakan masih tidak diketahui berapa peratus kenaikan gaji yang bakal diperoleh oleh kakitangan kerajaan kerana pada 2007 mereka menikmati kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus.
Turut tidak dipastikan lagi sama ada Najib yang juga Menteri Kewangan akan memberi dua bulan bonus atau sebulan bonus saja dan ura-ura mengenai perkhabaran ini sudah tersebar dengan meluas di kalangan kakitangan awam.

Ketika pembentangan Bajet 2011 tahun lalu, bantuan khas kewangan RM500 diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan bagi meringan beban mereka dalam menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak. 

Baru-baru ini, CUEPACS yang mewakili lebih sejuta kakitangan awam di negara ini, mengemukakan beberapa cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha memperbaiki kebajikan anggota kerajaan di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Menurut sumber itu lagi, antara perubahan yang dijangka berlaku terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah kemungkinan membabitkan beberapa perkara seperti struktur gaji; elaun; peningkatan peluang kerjaya dan syarat perkhidmatan. 
Kali terakhir semakan struktur gaji dan beberapa perkara lain secara menyeluruh membabitkan sistem sektor awam ialah pada 1992, cuma sebelum ini kerajaan beberapa kali mengumumkan pelarasan gaji.

Kita difahamkan Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik kepada kakitangan kerajaan pada 7 Oktober ini... sudah tiba masanya untuk kerajaan melakukan satu perubahan drastik secara menyeluruh pada sektor perkhidmatan awam, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan pelarasan gaji kakitangan awam dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh 15 tahun sejak 1992 hingga 2007, diberikan setiap tiga hingga lima tahun iaitu pada 1992, 1995, 2000, 2002 (dua kali) dan 2007.

Sistem Saraan Baru (SSB) dilaksanakan sejak Januari 1992, sebagai langkah strategik untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam sebelum dikaji semula dan digantikan dengan SSM.

Dalam pada itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata semua perkara yang dibangkitkan oleh kesatuan sekerja berkenaan kini sedang dikaji secara terperinci oleh JPA.

Melihat kepada beberapa pengumuman menarik yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini, CUEPACS juga amat yakin bahawa beliau (Najib) akan turut membuat satu kejutan pada 7 Oktober ini, katanya.

Kastam tahan warga asing, rampas wang RM253,000




Pegawai penguat kuasa menunjukkan tempat simpanan wang tunai bernilai RM253,000 yang tidak diikrar dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Padang Besar, Perlis, semalam.


PADANG BESAR 23 Sept. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri mematahkan cubaan menyeludup sejumlah wang kertas ringgit Malaysia bernilai RM253,000 ke negara ini berikutan penahanan seorang penoreh getah warga Thailand di Kompleks Imigresen Padang Besar, di sini semalam.
Pengarahnya, Mohd. Pudzi Man berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan ketika sepasukan anggotanya memeriksa kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang pada pukul 12.45 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan itu anggota Kastam menemui empat bungkusan mengandungi wang berkenaan yang dibungkus menggunakan surat khabar dan beg plastik.
“Wang not kertas RM1 sehingga RM100 itu ditemui disorok di bawah tempat duduk belakang kenderaan tersebut. Kesemua wang berkenaan disita dan dilucutkan hak kepada pihak Kastam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan, lelaki berkenaan yang memasuki negara ini gagal mengemukakan dokumen mengenai wang berkenaan malah tidak mengikrar wang itu dalam borang Kastam K22.
“Lelaki itu mendakwa membawa wang berkenaan ke negara ini untuk membayar hutang,” ujar beliau.
Mohd. Pudzi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes itu dan telah menahan empat lelaki iaitu tiga warga tempatan dan seorang warga Thailand untuk siasatan lanjut.
“Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk meneliti rekod kemasukan lelaki berkenaan ke negara ini,” katanya.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLAFTA) 2001, Seksyen 4 (1) AMLAFTA iaitu terlibat dengan penggubahan wang haram dan Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barang larangan import.
Mohd. Pudzi turut mengingatkan orang ramai yang memasuki negara ini dengan membawa mana-mana mata wang melebihi nilai atau bersamaan AS$$10,000 (RM31,700) agar mengisytiharkan kepada pihak Kastam.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan wang agar menghubungi Kastam 1-800-88-8855.