Friday, September 23, 2011

Chong Wei dikerah sebelum ke separuh akhir


KUALA LUMPUR - Dua pemain terbaik dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan dipaksa mengharungi pertarungan mencemaskan sebelum melangkah ke ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Jepun di Tokyo, semalam, sekali gus menghampiri final impian.
Jaguh No. 1 dan 2 dunia itu diheret dalam perlawanan tiga set oleh dua lawan yang lebih muda, Kenichi Tago serta Chen Jin sebelum meneruskan kemaraan pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM627,000) itu.
Chong Wei yang tumpas kepada Lin Dan pada final Kejohanan Dunia di London, bulan lalu mengakui, masih belum bangkit secara mental daripada kekalahan kepada musuh tradisi itu, namun dia tetap bersedia secara fizikal untuk berdepan dengannya jika ditemukan di perlawanan akhir sekali lagi.
"Saya memegang mata perlawanan 20-19 dan 21-20 ketika itu, saya ada peluang untuk menang tetapi saya kalah perlawanan tersebut. Sejak itu, semangat saya agak merudum. Saya tetap pergi ke Jepun kerana saya rasa kejohanan kali ini istimewa, ia ulang tahun ke-30 Terbuka Jepun,'' ujar Chong Wei.
Terdahulu, langkah cemerlang beregu muda negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah pula terhenti di suku akhir apabila tersingkir di tangan pasangan senior senegara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.
Kekalahan itu menyaksikan, Kien Keat-Boon Heong kini bakal memperbaharui permusuhan dengan beregu handalan China, Fui Haifeng-Cai Yun pada separuh akhir hari ini.
Bagi V Shem-Khim Wah, walaupun kalah mereka terus menunjukkan potensi besar selepas mempamer permainan cemerlang dan memberi tentangan hebat kepada pasangan No. 5 dunia, Kien Keat-Boon Heong sebelum akur dengan keputusan 21-16, 19-21, 21-17.
Dalam perseorangan lelaki, laluan Chong Wei untuk mempertahankan kejuaraan tidak mudah.
Dia bukan saja dikejutkan dengan kekalahan di set pembukaan, malah diheret dalam pertarungan hampir sejam sebelum menyingkirkan pemain kental, Tago 21-23, 21-7, 21-18.
Chong Wei, 29, yang juga juara 2007 melebarkan rekod pertemuan ke atas pemain berusia 22 tahun kepada 7-0, namun kemenangan kali ini antara yang paling sukar dicapai, apatah lagi Tago mempamerkan semangat juang kental dengan berjaya merapatkan jurang 18-20 selepas seketika ketinggalan 10-19 dalam set ketiga.
Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock ketika dihubungi mengakui, kedegilan Tago hampir mengejutkan anak didiknya, terutama di set pembukaan dan penutup.
"Pada hujung set pertama Chong Wei hilang fokus akibat terikut-ikut permainan lawan tetapi di hujung set ketiga pula dia terlalu relaks hingga membenarkan Tago merapatkan jurang,'' katanya.
Menanti Chong Wei pada separuh akhir hari ini adalah juara 1998 dan 1999, Peter Hoeg Gade dari Denmark yang mara selepas mudah mengetepikan pemain Indonesia, Simon Santoso 21-16, 21-15 dalam satu lagi suku akhir.
Sementara itu, juara dunia dan juara Terbuka Jepun dua kali, Lin Dan hampir dikejutkan rakan senegara yang juga juara dunia 2010, Chen Jin buat kali kedua dalam tempoh seminggu sebelum bangkit daripada ketinggalan untuk menang 20-22, 21-14, 22-20 dalam saingan yang berlangsung selama 1 jam, 8 minit.
Li Dan yang dikejutkan Chin Jin pada separuh akhir China Masters, minggu lalu kini akan berdepan seorang lagi rakan senegara yang juga juara China Masters, Chen Long pada separuh akhir hari ini. Chen Long terdahulu mara selepas mudah menumpaskan Jan O Jorgensen 21-14, 21-13.

1 comment:

  1. slm dear, adik nih kwn akak yg maner eh?
    tukar blog br ke aper? :)

    ReplyDelete